Mukhriz dilantik pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda

JITRA: Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berkuatkuasa 1 Mac lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata pelantikan Mukhriz dibuat selepas mendapat persetujuan Agong baru-baru ini.

“Mada adalah institusi yang sangat penting dalam pembangunan padi beras negara, pihak kementerian telah membuat beberapa keputusan penting bagi memastikan pembangunan Mada untuk tingkatkan hasil padi negara.

“Sebagai menteri besar Kedah kami berpandangan pada masa ini, beliau paling sesuai memimpin Mada,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melawat Oblong Burger Manufacturing Facility di Kampung Cherok Mokkan petang ini.

Beliau berkata pelantikan menteri besar sebagai pengerusi lembaga itu juga dilihat akan dapat mengurangkan isu berkaitan birokrasi di samping mempercepatkan sebarang penyaluran bantuan.

Sebelum ini, pengerusi Mada ialah Othman Aziz.