Naik taraf klinik kesihatan, Rantau tidak perlu hospital baru, kata Streram

Calon PH bagi PRK Rantau, Dr S Streram.

RANTAU: Calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram berkata, tiada keperluan untuk membina sebuah hospital di Rantau, sebalik penambahbaikan yang meliputi semua aspek ke atas klinik kesihatan sedia ada lebih penting.

“Kita tidak perlu bazir wang rakyat untuk bina satu lagi hospital. Cukup sahaja naik taraf klinik kesihatan yang sedia ada di Rantau.

“Saya cakap ini dari sudut pemikiran seorang ahli perubatan,” katanya kepada pemberita semasa program ramah mesra dengan penduduk Taman Ekar, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang isu yang akan difokuskan beliau sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bermula semalam.

Streram merupakan ahli pakar bius dan telah berkhidmat selama hampir 34 tahun. Kini, beliau bertugas di sebuah hospital swasta di Nilai, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Streram berkata, klinik kesihatan di kawasan itu memerlukan katil yang mencukupi untuk merawat pesakit, selain kemudahan bantuan untuk kes kecemasan.

Stream berkata, status klinik kesihatan yang ada kini tidak melebihi klinik biasa sahaja.

“Tak cukup. Sebab itu kita menghantar pesakit-pesakit ke hospital (Tuanku Jaafar) di Seremban.

“Kes melibatkan serangan jantung atau kecederaan serius mengambil masa 1 ke 2 jam untuk ambulans tiba. Kita tidak boleh tunggu selama tempoh itu,” katanya.

Beliau mendakwa 2 ambulans yang disediakan di klinik kesihatan berkenaan tidak boleh beroperasi menyebabkan penduduk harus menunggu ketibaan bantuan ambulans dari hospital besar.

“Saya dapati penduduk mempunyai banyak masalah penyakit, terutamanya golongan warga emas. Jadi akses kepada kemudahan ini sedang kita teliti,” katanya.

PRK Rantau yang ditetapkan pada 13 April depan itu menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Streram dengan 3 calon lain, iaitu Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula semalam dan hari mengundi awal dijadualkan pada 9 April.

Terdapat 29,926 pengundi berdaftar di DUN Rantau, dengan 55% daripadanya pengundi Melayu, India 26% dan Cina 19%.