Peraturan pemandu OKU tak boleh dapat lesen PSV akan dipinda, kata Loke

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook beri jaminan pemandu OKU dapat terus bekerja seperti biasa.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berjanji peraturan yang tidak membenarkan Orang Kurang Upaya (OKU) mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) akan dipinda bagi membolehkan golongan itu menjadi pemandu e-hailing.

Masalah itu timbul selepas kerajaan menetapkan semua pemandu e-hailing mesti memiliki lesen PSV mulai Julai ini.

Lesen itu membenarkan pemegang lesen memandu kenderaan pengangkutan untuk penumpang, tetapi menurut JPJ, golongan OKU yang memegang lesen memandu OKU tidak dibenarkan memohon, memandu atau mengendalikan kenderaan e-hailing bagi menjamin keselamatan jalan raya.

“Memang ada beberapa masalah dihadapi kerana peraturan sedia ada tidak membenarkan pemandu kurang upaya untuk memohon lesen PSV.

“Tetapi saya sudah berikan komitmen kepada mereka, kerajaan akan meminda peraturan bagi membolehkan mereka terus menjadi pemandu e-hailing dan mendapatkan pendapatan,” katanya kepada pemberita di KL Sentral tengah hari tadi.

Katanya, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan komuniti pemandu OKU dan syarikat e-hailing bagi menangani perkara tersebut.

Sebelum ini, Loke berkata beberapa tindakan termasuk amaran akan dikenakan terhadap pemandu e-hailing yang beroperasi tanpa lesen PSV selepas 12 Julai.

Bawah peraturan baru, pemandu e-hailing mesti mendaftar dan memiliki lesen PSV, perlu memiliki insurans untuk kereta manakala kenderaan melebihi 3 tahun perlu membuat pemeriksaan.