Selesai dulu sebelum dedah, Anwar bersama Dr M dalam isu laporan CEP

PADANG TERAP: Semua pihak harus memberikan ruang kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyelesaikan beberapa cadangan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) sebelum mendedahkan laporan itu kepada umum.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, walaupun pada prinsipnya Pakatan Harapan (PH) mahu laporan CEP itu didedahkan namun ada beberapa cadangan yang mana boleh dilaksanakan itu perlu dikenal pasti supaya dapat dijelaskan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sesi dialog bersama penoreh getah daerah daerah Padang Terap di Pengkalan Tok Mas hari ini.

Hadir sama Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul.

Anwar mengulas laporan media semalam yang memetik kenyataan Dr Mahathir memaklumkan kerajaan tidak boleh mendedahkan laporan 100 hari CEP kepada umum kerana ada beberapa perkara di dalamnya yang masih di peringkat rundingan.