Amanah NS: Ahli bantu kempen calon Bebas di Rantau gugur keahlian

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Zulkifli Mohammad Omar (tengah) berkata, parti itu akan memberikan sokongan padu kepada calon PH, Dr S Streram.

RANTAU: Amanah Negeri Sembilan sekali lagi mengingatkan ahli parti itu supaya tidak membantu kempen bekas ahlinya Mohd Nor Yassin dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sedang berjalan.

“Mana-mana ahli yang berbuat demikian akan dipecat serta merta,” kata pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Zulkifli Mohammad Omar.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di bilik gerakan utama (BGU) Pakatan Harapan (PH) di Bandar Ekar, hari ini. Hadir sama, timbalan pengerusi Amanah negeri, Taufik Abdul Ghani.

Tiga hari lepas, keahlian calon Bebas, Mohd Nor, 67, dalam Amanah gugur secara automatik apabila beliau disahkan bertanding dalam PRK berkenaan yang dijadualkan pada 13 April ini.

Naib presiden Amanah, Husam Musa berkata, tindakan Mohd Nor itu adalah keputusan peribadi dan tidak membabitkan parti.

“Dia dah jadi calon Bebas, dia dah tak jadi ahlilah,” katanya.

Terdahulu, setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan menafikan Moh Nor ahli PAS, walaupun beliau pernah bertanding mewakili parti itu pada pilihan raya umum ke-13.

Takiyuddin dalam satu kenyataan media berkata, Mohd Nor menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Amanah pada 10 Mac 2019, sekali gus bukan lagi ahli PAS.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, tiada sebarang usaha di pihak Amanah Negeri Sembilan untuk berjumpa atau berbincang dengan calon Bebas tersebut.

“Dia tengok saya pun dia lari. Buat apa nak layan ahli biasa ni?” katanya.

Beliau berkata, Amanah perlu memfokuskan usaha bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) di situ.

“Kita perlu berikan sokongan dan kekuatan kita kepada calon PH di Rantau. Itu matlamat kita sekarang,” katanya.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon PH, Dr S Streram; calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan, dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohd Nor.

Ia merupakan PRK ke-7 diadakan selepas pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, iaitu PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Semenyih, kesemuanya di Selangor dan PRK kerusi Parlimen Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Cameron Highlands (Pahang).