Bekas ketua SPR tak disiasat kerana letak jawatan sebelum tubuh tribunal

Hashim Abdullah meletak jawatan pada 18 Julai 2018.

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Hashim Abdullah tidak dipanggil untuk siasatan salah laku kerana beliau meletak jawatan sebelum Agong bersetuju menubuhkan tribunal menyiasat dakwaan salah laku pesuruhjaya badan itu, kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

Katanya, ahli SPR yang lain hanya meletak jawatan selepas Yang di-Pertuan Agong memberi lampu hijau untuk menubuhkan tribunal itu Disember lalu.

Mereka termasuk bekas timbalan pengerusi SPR, Othman Mahmood bersama pesuruhjaya, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Leo Chong Cheong dan K Bala Singam.

“Pengerusi sudah lama berundur dan ini sebabnya kami tidak membuat representasi untuk menggantikannya di depan tribunal,” kata Thomas kepada tribunal 5 anggota dipengerusikan Steve Shim, dalam hujahnya yang bekas ahli SPR perlu dibicarakan atas dakwaan salah laku.

Ahli lain panel itu adalah Zaleha Zahari, Suriyadi Halim Omar, Jeffrey Tan dan Prasad Sandosham Abraham.

Sebanyak 30 dakwaan dihadapi 6 bekas pesuruhjaya atas kaitan peranan mereka dalam menyediakan laporan persempadanan semula penuh kontroversi dan cara pilihan raya umum ke-14 dijalankan pada 9 Mei tahun lalu.

Peguam berkata, anak guam mereka tidak patut dibicarakan kerana Agong sudah menerima peletakan jawatan mereka.

Katanya, Thomas tidak mengeluarkan sebarang surat penggantungan terhadap 6 pesuruhjaya itu selepas kelulusan untuk menubuhkan tribunal itu.

Hashim meletak jawatan pada 18 Julai tahun lalu.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendapat persetujuan Agong untuk menubuhkan tribunal itu pada 5 Disember lalu.

Sementara itu, Thomas yang dibantu Mazlifah Ayob, memberitahu tribunal itu beliau berhak menamatkan perkhidmatan peguam, M Puravalen atas keingkarannya.

Puravalen yang dilantik sebagai pegawai pengendali, memberitahu tribunal itu pada 28 Januari lalu, prosiding tidak boleh diteruskan kerana 6 pesuruhjaya itu sudah meletak jawatan.

Thomas memecat Puravalen 2 hari kemudian.

“Saya ialah kliennya dan boleh menentukan pilihan peguam saya kerana tiada peguam bela mempunyai jaminan pelantikan.”

Shim menangguhkan keputusan tribunal itu, sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan 6 bekas pesuruhjaya SPR itu atas dakwaan salah laku.

“Kami akan mengambil tindakan perlu untuk menyampaikan penemuan kami,” katanya selepas mendapat pelbagai respons daripada Thomas dan peguam lain, sama ada tribunal itu akan menghantar laporan hasil siasatannya kepada Agong atau mengumumkan kepada orang ramai.

Peguam, Shahrudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mewakili Othman, Yusop, Aziz serta Sulaiman.

K Kumaraendran dan K Kumaraguru mewakili Bala Singam, manakala R Kengadharan mewakili Leo.

Sidang tribunal yang diadakan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di sini, memasuki hari ke-3 hari ini.