Dewan Rakyat kecoh isu peruntukan wakil rakyat

Timbalan menteri JPM Md Farid Md Rafik memberitahu Dewan Rakyat, peruntukan khas bagi ahli Parlimen PH berjumlah RM1.5 juta, manakala RM300,000 bagi pengurusan pusat khidmat rakyat.

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang saling bertikam lidah, mengenai isu peruntukan kepada wakil rakyat.

Terdahulu, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Md Farid Md Rafik ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkata, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kawasan Parlimen pembangkang.

“Perkara ini merupakan satu titik permulaan yang cukup baik. Ini tahun pertama pelaksanaannya. Ia masih terbuka kepada penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan itu boleh ditambah baik bergantung kepada kemampuan kerajaan.

Tambahnya, peruntukan khas bagi ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula adalah berjumlah RM1.5 juta, manakala RM300,000 bagi peruntukan pengurusan pejabat untuk menguruskan pusat khidmat rakyat.

Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) kemudian membangkitkan isu ketidakadilan dalam pemberian peruntukan berkenaan.

Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) kemudian mencelah dengan mengatakan selama 2 penggal beliau menjadi ahli Parlimen pembangkang, beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Celahan Abdullah Sani itu diganggu Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang melaungkan perkataan “penipu” sehingga menimbulkan perang mulut dengan wakil rakyat kerajaan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon kemudian meminta ahli Parlimen untuk bertenang supaya Md Farid dapat meneruskan penggulungan beliau.