Jangan sesuka hati umum dasar kerajaan, Rafidah beritahu menteri PH

Rafidah juga menasihati menteri PH supaya tidak menggunakan media sosial untuk mengumumkan dasar kerajaan.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri perdagangan industri dan antarabangsa, Rafidah Aziz menasihati jemaah menteri supaya tidak terlalu ghairah untuk mengumumkan dasar baru kerajaan tanpa melakukan kajian terlebih dahulu.

Katanya, nasihat itu diberikan kepada menteri, timbalan menteri dan pegawai tertinggi kerajaan dalam satu ceramah khas pada hujung Disember lepas.

“Saya pun terkejut apabila diminta sampaikan ceramah selama sejam kepada menteri. Perdana menteri pun ada sama,” katanya dalam program dialog Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian, petang tadi.

Kata Rafidah, seseorang menteri perlu memastikan kajian dan perancangan kementerian siap dan bersedia sepenuhnya supaya apabila dasar kerajaan diumumkan, tidak timbul sebarang isu pada masa akan datang.

“Sebelum umum, menteri perlu bincang habis-habis dengan semua pihak, jadi apabila dapat maklum balas, sekali umum terus berkesan dan semua orang boleh terima.

“Tapi keghairahan nak umum sebelum kaji dulu itu jadi masalah. Perdana menteri kena selamatkan awak, kawan-kawan kena selamatkan awak. Itu yang orang kata ‘bohong sunat’ sebab nak menyelamatkan diri,” katanya.

Rafidah berkata, menteri juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan media sosial untuk mengumumkan dasar kerajaan.

“Kalau di media sosial nak bagi penjelasan tidak apa, tapi jangan sampai umum dasar kerajaan. Nanti kalau silap kena terangkan balik, sudahnya rakyat kecewa,” katanya.

Dalam pada itu, Rafidah berkata, terdapat segelintir pihak yang ghairah menghentam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal memenuhi janji manifesto pilihan raya umum ke-14.

“Mana ada kerajaan yang jadikan manifesto sebagai panduan sepenuhnya untuk tadbir negara. Manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu pun ada beberapa helai sahaja, tapi kerajaan PH sampai buat buku.

“Kalau nak teruskan pembangunan tak payah beritahu sebab rakyat tahu, kerajaan akan buat juga pembangunan. Sebab itu kerajaan tak terikat dengan manifesto,” katanya.