Kenapa Hospital Rembau belum berfungsi, Streram tanya Mohamad

Calon PH bagi PRK Rantau, Dr S Streram mempersoalkan bagaimana sebagai menteri besar Mohamad tidak berupaya mencari tanah bersesuaian bagi menaik taraf Klinik Kesihatan Rantau.

RANTAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Rantau sekali lagi menegaskan beliau bukan menolak pembinaan hospital di Rembau, tetapi mempersoalkan mengapa ia masih belum berfungsi selepas beberapa tahun dibina.

“Saya tak tahu bagaimana mereka berfikir. Seolah-olah apabila bangunan itu sudah siap dibina bermakna ia telah berfungsi.

“Adakah bangunan itu sekarang boleh menerima walau seorang pun pesakit? Bolehkah mereka dirujuk kepada jururawat, doktor atau pasukan pakar? Tidak. Inilah yang sedang saya perjuangkan sekarang,” kata Dr S Streram dalam satu temubual khas bersama FMT di bilik gerakan utama (BGU) PH di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan komen calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Hassan yang berkata hospital di Rembau sudah siap dibina sambil menyifatkan Streram seperti membuat kenyataan “mabuk”.

Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita, Streram menyoal Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, mengenai status pembinaan hospital di Rembau itu.

“BN kaya sangat nak buat hospital. Mana ia? Tak siap-siap pun,” katanya.

Tambahnya, beliau memfokuskan isu tersebut sebagai seorang ahli perubatan yang mementingkan fasiliti untuk kes kecemasan.

“Saya seorang doktor. Saya sudah bekerja di hospital kerajaan dan swasta. Jangan salah faham dengan apa yang saya katakan, saya menyentuh hal ini berasaskan fakta,” katanya.

Semalam FMT melaporkan, Mohamad berkata, Streram perlu membuat kajian menyeluruh mengenai pembangunan di Rembau sebelum membuat kenyataan yang boleh memakan diri sendiri.

Beliau merujuk kepada isu pembinaan hospital di kawasan tersebut.

“Hospital Rembau sudah siap, pergilah tengok sendiri. Hospital itu sudah siap, tetapi Kementerian Kesihatan tidak lagi melakukan operasinya kerana mereka nak gunakan peralatan yang baru.

“Kalau Dr Streram kata tidak ada hospital di Rembau, maknanya dia ‘mabuk’ lagi sekali. Jangan kata saya tuduh dia mabuk pula. Itu gurauan saja. Sepatutnya dia tahu apa dia cakap,” katanya.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM8 juta berikutan kelewatan pembinaan Hospital Rembau, yang dijadualkan siap pada 8 September 2016.

Katanya, hospital tersebut yang mula dibina pada September 2013 dengan kos asal RM96 juta, kini meningkat kepada RM104 juta.

Dalam perkembangan lain, Streram turut mempersoalkan bgaimana Mohamad sebagai menteri besar negeri itu tidak berupaya mencari tanah yang bersesuaian dalam usaha menaik taraf Klinik Kesihatan Rantau.

“Tanah tidak akan menjadi satu isu. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan penyelesaian.”

Mohamad dilaporkan berkata, pentadbirannya mengalami kekangan bagi menaik taraf klinik kesihatan tersebut.

“Memang kita nak naik taraf (Klinik Kesihatan Rantau) dan ada dalam dasar kita. Ia dah diluluskan tapi masalahnya di kawasan klinik Rantau itu tanah tidak ada, tempat itu tidak sesuai untuk dibesarkan, jadi kita bawa kelulusan itu ke Klinik Lenggeng,” kata Mohamad, semalam.

Ketika ditanya sama ada beliau mampu mendapatkan tanah yang dikehendaki untuk menambah baik klinik kesihatan itu, Streram berkata, ia harus dirujuk kepada beberapa pihak terlebih dahulu.

“Saya perlu mengemukakan perkara itu kepada kerajaan negeri, menteri besar, exco dan kerajaan persekutuan,” katanya.

PRK Rantau yang ditetapkan pada 13 April depan menyaksikan persaingan 4 penjuru antara Mohamad, Dr S Streram dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram serta Mohd Nor Yassin

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula Sabtu lepas dan hari mengundi awal dijadualkan pada 9 April depan.