Dakwaan bunuh digugurkan bagi tertuduh Vietnam dalam kes Jong Nam

Doan Thi Huong mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.

KUALA LUMPUR: Pendakwa raya menggugurkan dakwaan bunuh ke atas wanita Vietnam yang didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un selepas dia mengaku bersalah terhadap dakwaan lebih ringan menyebabkan kecederaan menggunakan bahan berbahaya.

Reuters melaporkan pendakwa raya memberitahu mahkamah tawaran bagi pertuduhan lebih ringan diberikan selepas mereka menerima pernyataan daripada Kedutaan Vietnam dan peguam tertuduh.

Doan Thi Huong, 30, mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan.

Doan didakwa menyapu racun VX, senjata kimia maut ke muka Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Februari 2017.

Jika didapati bersalah atas dakwaan bunuh, Doan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Doan sebelum ini didakwa bersama seorang wanita Indonesia, Siti Aisyah.

Pendakwa raya membuat kejutan bulan lalu dengan menggugurkan dakwaan bunuh ke atas Siti Aisyah, tetapi enggan berbuat demikian kepada Doan, walaupun kerajaan Vietnam mengemukakan rayuan. Tiada alasan diberikan untuk keputusan itu.

Tahun lalu, seorang hakim memerintahkan Doan dan Siti Aisyah membela diri kerana terdapat bukti kedua-dua tertuduh dan 4 lagi lelaki Korea Utara yang masih bebas, terbabit dalam “konspirasi terancang” untuk membunuh Jong Nam.

Peguam wanita itu berkata, kedua-dua tertuduh sangka mereka mengambil bahagian dalam program gurauan realiti dan tidak tahu mereka meracuni Jong Nam.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh yang mewakili Doan dipetik AFP sebagai berkata, anak guamnya dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun 4 bulan, selepas menerima pertuduhan lebih ringan hari ini.

“Pada minggu pertama Mei, dia akan pulang ke rumah,” katanya di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam.