Khalid pertahan keputusan pindah bazar Ramadan Lorong TAR

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, DBKL perlu diberi peluang untuk melaksanakan rancangan itu

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad hari ini mempertahankan rancangan pemindahan operasi bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR)-Jalan Masjid India ke Jalan Raja di ibu negara, walaupun dibantah banyak pihak.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu diberi peluang bagi melaksanakan rancangan itu.

“Ramai tidak setuju, ramai juga yang setuju. Hakikatnya perkara ini diambil kira oleh DBKL dan mereka pun ada perbincangan dengan pihak berkenaan.

“Dakwaan kononnya pemindahan bazar terbabit ke Jalan Raja berhadapan bangunan Sultan Abdul Samad boleh mengotorkan bangunan warisan berkenaan, sebenarnya tidak menjadi masalah,” katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen.

Pada 18 Mac lalu, DBKL memaklumkan rancangannya untuk memindahkan operasi bazar Ramadan di Lorong TAR-Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya pada tahun ini ke Jalan Raja, iaitu berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, lokasi bazar Ramadan itu akan bermula dari lampu isyarat persimpangan Jalan Gereja hingga ke lampu isyarat persimpangan Leboh Pasar Besar merangkumi jarak 0.2 kilometer dan 12 meter lebar.

Bagaimanapun, keputusan DBKL itu mendapat bantahan daripada golongan penjaja dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana lokasi baru bazar itu didakwa akan menimbulkan pelbagai masalah, termasuk kebersihan.

Dalam pada itu, Khalid berkata, beliau terbuka dengan semua pandangan berhubung perkara terbabit dan bersedia berbincang dengan pihak berkenaan.