‘Klepto berserban’ rosakkan negara, kata Rafidah Aziz

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.

SHAH ALAM: “Klepto berserban” menjadi punca negara menghadapi pelbagai kerosakan, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.

Katanya, segelintir orang Melayu menggunakan Islam sebagai modal untuk berpolitik menyebabkan kesalahan yang dilakukan ditutup sebelah mata.

“Itu yang banyak ‘klepto berserban’, sekarang berduyun-duyun ke SPRM. Kalau tengok macam ahli syurga, tapi ahli syurga dilarang mencuri.

“Kita sepatutnya amanah duit rakyat dan dosa lagi besar pada rakyat. Dosa dengan Allah boleh minta ampun, tapi dosa dengan rakyat macam mana, sebab itu jangan sekali-kali pecah amanah, katanya dalam program Bicara Minda akbar Sinar Harian, petang tadi.

Rafidah juga tidak bersetuju dengan budaya menghalalkan kesilapan yang dilakukan oleh seseorang.

“Macam mana nak didik anak dengan baik kalau lindung mereka walaupun buat salah.

“Bila asyik lindung yang kecil, pencuri besar pun kita nak lindung. Kenapa kita kena lindung bosku? Ini menunjukkan kita ada budaya yang suka lindung benda tak betul. Kenapa nak segan-segan tegur?” katanya.

Dalam pada itu, Rafidah menganggap kerjasama Umno-PAS boleh membawa kepada kehancuran.

“Inilah lumrah politik. Dengan harimau nak menerkam pun boleh berbaik. Kalau dah tahu satu pihak itu suka memecah belah rakyat, buat apa kerjasama.

“Ini bukan kepimpinan, tetapi kehancuran. Sebabnya bangsa, agama dan keturunan akan berpecah belah disebabkan politik,” katanya.

Kata Rafidah, beliau juga tidak boleh menerima politik yang mengongkong, iaitu politik yang menggunakan isu kaum dan agama semata-mata untuk menang undi.

Sebaliknya, beliau mahukan politik matang yang menerima kepelbagaian.

“Kita tak boleh maju kalau tidak ada kepelbagaian.

“Sepatutnya pada era ini, kita tak boleh bercakap lagi soal tolak ansur kepelbagaian, sebaliknya kita harus menerima terus kepelbagaian.

“Dengan menyemai perpaduan, barulah ada rasa hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.