Naik taraf Klinik Kesihatan Rantau alami kekangan, kata Tok Mat

Mohamad Hasan ketika majlis mesra bersama calon BN di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, malam tadi.

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional mendakwa kerajaan negeri di bawah pentadbirannya sebelum ini mengalami kekangan bagi menaik taraf klinik kesihatan di kawasan DUN Rantau.

Mohamad Hasan berkata pihaknya sudahpun mencari tapak bagi pembinaan Klinik Kesihatan Rantau untuk menggantikan klinik sedia ada yang memerlukan pembesaran dan penambahbaikan.

“Memang kita nak naik taraf (Klinik Kesihatan Rantau) dan ada dalam dasar kita dan ia dah diluluskan tapi masalahnya di kawasan klinik Rantau itu tanah tidak ada, tempat itu tidak sesuai untuk dibesarkan, jadi kita bawa kelulusan itu ke Klinik Lenggeng.

“Tanah kerajaan tidak ada di sekitar Klinik Kesihatan Rantau itu, kalau nak beli tanah orang awam perbelanjaan besar, jadi ada beberapa isu kadang-kadang tidak semudah kita fikirkan,” katanya dalam majlis mesra bersama calon BN di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, semalam.

Mohamad berkata demikian menjawab kenyataan calon Pakatan Harapan, Dr S Streram yang mengatakan tiada keperluan untuk membina hospital di Rantau, sebalik penambahbaikan yang meliputi semua aspek ke atas klinik kesihatan sedia ada lebih penting.

“Kita tidak perlu bazir wang rakyat untuk bina satu lagi hospital. Cukup sahaja naik taraf klinik kesihatan yang sedia ada di Rantau,” kata Streram.

Mohamad juga berkata Rantau tidak perlukan hospital kerana kawasan itu dekat dengan Hospital Port Dickson, Hospital Seremban dan Hospital Rembau.

Mengulas kenyataan Streram bahawa tiada pembinaan hospital di bawah Parlimen Rembau, beliau berkata dakwaan itu tidak berasas.

Mohamad berkata, Streram perlu membuat kajian menyeluruh mengenai pembangunan di Rembau sebelum membuat kenyataan yang boleh memakan diri sendiri.

“Sepatutnya dia kena tahu apa yang dia cakap. Selaku calon dan dia bukan calang-calang orang, doktor pula.

“Takkan cakap macam orang yang tidak ada pengetahuan, cakap biar betul. Kalau nak tuduh biar yang betul.

“Hospital Rembau sudah siap, pergilah tengok sendiri. Hospital itu sudah siap tetapi Kementerian Kesihatan tidak lagi melakukan operasinya kerana mereka nak gunakan peralatan yang baru.

“Kalau Dr Streram kata tidak ada hospital di Rembau, maknanya dia ‘mabuk’ lagi sekali. Jangan kata saya tuduh dia mabuk pula, itu gurauan saja, sepatutnya dia tahu apa dia cakap,” katanya.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM8 juta berikutan kelewatan pembinaan Hospital Rembau, yang sepatutnya dijadualkan siap pada 8 September 2016.

Katanya, hospital tersebut yang mula dibina pada September 2013 dengan kos asal RM96 juta, kini meningkat kepada RM104 juta.