Palestin panggil balik duta selepas Brazil buka pejabat diplomatik di Baitulmaqdis

Brazil pada Ahad mengumumkan pembukaan pejabat diplomatik di Baitulmaqdis yang akan menjadi sebahagian daripada kedutaannya di Tel Aviv (Gambar AFP)

RAMALLAH: Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada Ahad memanggil pulang dutanya ke Brazil sebagai bantahan terhadap langkah negara itu membuka sebuah pejabat diplomatik di Baitulmaqdis, lapor agensi berita China, Xinhua memetik kenyataan Kementerian Luar.

Kenyataan itu menyebut keputusan Brazil itu dikecam dan merupakan “pelanggaran legitimasi antarabangsa dan keputusannya yang amat jelas”, sambil menambah “langkah tersebut adalah pencabulan langsung ke atas penduduk Palestin dan hak mereka”.

“Keputusan itu adalah respons positif kepada tekanan Amerika Syarikat-Israel bagi mempertahankan pendudukan, penempatan dan pengyahudian Baitulmaqdis yang diduduki, mengilhakkannya serta mengenakan undang-undang Israel secara paksa di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu juga menyebut kepimpinan Palestin kini berunding dengan pelbagai negara Arab “untuk mengambil pendirian bersatu dalam menangani sikap sesetengah negara”.

Kenyataan itu berkata, Baitulmaqdis adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada keseluruhan wilayah Palestin yang diduduki pada 1967.

Menurut kenyataan itu, keputusan pentadbiran AS, Israel dan negara lain yang bersekutu dengan mereka tidak akan pernah mewujudkan hak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Terdahulu pada Ahad, Brazil mengumumkan negara itu membuka sebuah pejabat diplomatik di Baitulmaqdis dan ia akan menjadi sebahagian daripada kedutaannya di Tel Aviv, menurut Radio Israel.