Pemandu lori hina Islam, Melayu dibenar ikat jamin

Peguam Sukhindarpal Singh (2 dari kanan) and Y Anbanathan (kanan) bercakap dengan keluarga Karitikesoo Valu di luar Mahkamah Tinggi di George Town, hari ini.

GEORGE TOWN: Seorang pemandu lori yang tidak dibenarkan diikat jamin hampir 2 minggu lalu selepas didakwa menghina orang Melayu dan Islam ditawarkan jaminan RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Keputusan itu dibuat setelah Hakim Akhtar Tahir meneliti semula kes Karitikesoo Valu yang ditahan sejak dia dituduh pada 22 Mac.

Karitikesoo, 43, didakwa menyalahgunakan perkhidmatan internet dengan memuat naik mesej menghina orang Melayu dan Islam pada 23 Jan menggunakan akaun Facebook “Suresh Don Don”.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000, 1 tahun penjara, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Akhtar dalam membuat keputusannya berkata tertuduh patut ditawarkan ikat jamin kerana dia layak.

Beliau berkata, CMA adalah membenarkan ikat jamin dan Kanun Prosedur Jenayah (CPC) sepatutnya diikuti yang membolehkan jaminan bagi tertuduh.

Beliau berkata ini terutamanya jika hukuman penjara kurang dari 3 tahun, menurut Jadual Pertama CPC.

Tambahnya, kesalahan Karitikesoo di bawah CMA membawa hukuman penjara setahun yang sepatutnya dibenarkan ikat jamin kerana tidak ada alasan yang melarang perkara ini.

Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tetapi Akhtar membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Karitikesoo menangis di dalam kandang tertuduh sambil tangannya digari dengan tahanan lain. Isterinya, G Gangadevi, 39, membayar wang jaminan.

Peguam Sukhindarpal Singh, Y Anbanathan dan V Parthipan mewakili Karitikesoo.

Sebutan semula kes adalah pada 23 April di Mahkamah Sesyen.