Prosiding kes SRC Najib tidak boleh siar secara langsung, kata pendaftar mahkamah

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berkata, perbicaraan di mahkamah tidak boleh disiarkan secara langsung atau dirakamkan oleh mana-mana media.

PUTRAJAYA: Prosiding perbicaraan bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bermula Rabu ini tidak boleh disiar secara langsung.

Ini berikutan kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang menyatakan kes perbicaraan di mahkamah tidak boleh disiarkan secara langsung atau dirakamkan oleh mana-mana media.

”Tiada perbicaraan di mana-mana mahkamah dibenarkan disiarkan secara langsung melalui mana-mana media atau dibenarkan untuk dirakamkan,” demikian menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Dilaporkan satu petisyen dalam talian oleh rakyat Malaysia dilancarkan bagi meminta kes perbicaraan Najib berkaitan SRC International disiarkan secara langsung di televisyen.

Semalam, Najib menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, berkata, beliau menyokong perbicaraan bermula Rabu ini disiarkan secara langsung kerana rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran kesnya itu.

Pada 4 Julai 2018, Najib, 66, didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 3 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa.

Bagaimanapun ahli Parlimen Pekan itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.