Putrajaya belum muktamad sisa Lynas dihantar ke Australia, kata menteri

Redzuan Md Yusof berkata, keputusan Kabinet adalah ‘jelas’ untuk membolehkan Lynas terus beroperasi dan cara menangani sisa buangan radioaktif adalah perkara berbeza.

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata, Putrajaya belum membuat keputusan muktamad berhubung penghantaran balik sisa radioaktif Lynas Malaysia ke Australia, walaupun Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan mendakwa sebuah pasukan petugas ditubuhkan kerajaan untuk memudahkan proses itu.

Katanya, beliau tidak tahu jika kenyataan Yeo yang Lynas perlu mengeluarkan sisa buangan radioaktifnya dari Malaysia sebagai syarat memperbaharui lesen, ialah pandangan peribadinya dan menteri itu perlu bertanggungjawab terhadap kenyataannya.

“Tidak ada keputusan secara kolektif oleh kerajaan untuk menghantar balik sisa itu ke Australia. Kita perlu mempunyai pemahaman dua hala.

“Kami masih dalam proses membincangkan cara terbaik untuk menguruskan sisa ini berbanding menghadapi kesan ke atas kedua-dua pihak dari segi perdagangan dua hala.

“Banyak faktor perlu dipertimbangkan dan kita perlu menguruskan sisa. Kita bergantung kepada fakta dan laporan. Jika laporan itu menyatakan kita perlu menutupnya demi keselamatan, kita akan lakukan. Ia harus diketahui umum apa alasan sebenar kita perlu menutupnya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada 13 Disember lalu, Yeo dilaporkan berkata, kerajaan mempertahankan keputusan mengarahkan Lynas mengeluarkan sisa buangan radioaktifnya dari Malaysia atau lesennya tidak akan diperbaharui.

Katanya, beliau memahami kebimbangan pekerja Lynas akan hilang pekerjaan, tetapi syarikat itu hanya menjaga keuntungan tanpa mengotakan janji untuk mengeluarkan sisa buangannya dari Malaysia.

Beliau turut melampirkan 2 surat akujanji bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012 oleh Lynas Australia serta Lynas Malaysia ke Facebook, Disember lalu.

Hari ini, Redzuan berkata, keputusan Kabinet adalah “jelas” untuk membolehkan Lynas terus beroperasi dan cara menangani sisa buangan radioaktifnya adalah perkara berbeza.

“Anda mempunyai persetujuan untuk membolehkan pelabur masuk ke negara ini sebelum ini, oleh itu kita perlu menguruskannya. Kita tidak boleh memaksa seseorang mengambil balik sisa itu. Itu bukan syarat dalam kontrak.

“Jika jawatankuasa itu kata ia tidak selamat, maka kita perlu menutupnya. Tetapi, setakat yang saya tahu, tiada petunjuk oleh jawatankuasa yang loji itu tidak selamat, selain cadangan sisa itu perlu dikembalikan.

“Ada alternatif lain untuk menguruskan sisa-sisa ini.”

Terdahulu, Isnaraissah Munirah Majilis yang merupakan timbalan Yeo dilaporkan berkata, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mahu bekerjasama dengan kerajaan Australia untuk memastikan sisa buangan Lynas dikembalikan ke negara itu.

Katanya, kerjasama itu bagi mencari jalan dalam memudahkan proses pengeluaran sisa “Water Leached Purification” dihasilkan kilang Lynas, yang sepatutnya dihantar ke Australia sebelum September ini.