Putrajaya minta Singapura beri 6 bulan kaji kos projek RTS

Loke Siew Fook berkata, Malaysia dan Singapura akan mengadakan pertemuan pada minggu depan.

KUALA LUMPUR: Putrajaya meminta Singapura memberi tempoh 6 bulan untuk mengkaji pilihan lain bagi mengurangkan kos projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang mampu mengurangkan masalah kesesakan di Tambak Johor dan Tuas.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, beberapa persetujuan sudah dicapai, tetapi ia belum boleh didedahkan kepada umum dan kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan pada minggu depan.

“Kami meminta lebih banyak masa daripada kerajaan Singapura untuk kita kaji pilihan yang ada.

“Dari segi kos, bagaimana kita boleh menggunakan projek itu. Kita minta lanjutan sehingga September,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

RTS yang kali pertama diumumkan semasa pemukiman bekas perdana menteri, Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 2010, dijangka beroperasi pada 2024.

Ia akan menghubungkan perkhidmatan pengangkutan awam antara Singapura dan Johor Bahru melalui stesen RTS di Bukit Chagar serta stesen MRT Woodlands North.

Pada 24 Mac lalu, Khazanah Nasional Bhd dilaporkan bersedia mempertimbang untuk menyertai projek RTS, selepas syarikat itu disebut-sebut akan dilantik kerajaan bagi meneruskan projek berkenaan dan Prasarana Malaysia memaklumkan ia tidak lagi mengendalikan RTS.