Saya kitar semula bahan kempen PRU14, kata calon BN

Bendera BN berkibaran di DUN Rantau, dengan poster kecil Tok Mat digantung pada tiang lampu jalan.

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan tidak mengeluarkan belanja besar untuk pilihan raya kecil Rantau kerana beliau mengitar semula bahan kempen yang tidak sempat digunakan pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Tidak banyak belanja pun sebab barang lama masa kempen PRU14 tidak terpakai.

“Sebenarnya, saya guna balik barang kempen masa PRU14 hari itu sebab tak sempat guna. Semua yang tersimpan saya pakailah balik,” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan Utama BN.

Timbalan presiden Umno yang lebih dikenali sebagai Tok Mat itu dalam misi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri itu yang dimenanginya sejak 2004.

Bendera Umno dan BN serta poster bersaiz kecil atau besar kelihatan di merata tempat sekitar DUN Rantau pada hari ke-3 kempen PRK.

Papan iklan bersaiz besar yang memaparkan muka Tok Mat.

Tetapi, tinjauan FMT mendapati tidak banyak bendera atau poster calon Pakatan Harapan, Dr S Streram, begitu juga 2 calon bebas.

DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan 4 pengundi tidak hadir.

Seramai 11,283 pengundi atau 55.11% daripadanya berbangsa Melayu, 3,849 atau 18.80% Cina dan 5,336 atau 26.06% India.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad, Streram dan 2 calon bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin.