SPRM tahan setiausaha politik terima jam RM28,000

Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek kelolaan sebuah kementerian

PUTRAJAYA: Seorang setiausaha politik seorang menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan dianggarkan bernilai RM28,000.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 47 tahun tersebut ditahan pada kira-kira pukul 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek di bawah kelolaan sebuah kementerian,” kata sumber berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Tambah sumber tersebut, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putajaya pagi Selasa.