Streram nafi diberi amaran tutup mulut

S Streram berpuas hati dengan media yang bertindak adil kepadanya dan menafikan beliau bimbang kenyataannya akan dimanipulasi pihak media.

RANTAU: Calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Rantau, Dr S Streram menafikan beliau diberi amaran supaya tidak menjawab pertanyaan media secara panjang lebar bagi mengelakkan jawapannya bercanggah maklumat terbaru jentera parti sehingga menjejaskan imej gabungan itu.

“Kalau saya diberi amaran, saya tidak boleh bercakap dengan kalian di sini,” katanya dalam temubual khas bersama FMT di bilik gerakan utama (BGU) PH di Bandar Ekar, hari ini.

Malam tadi, seorang individu yang mendakwa dirinya wakil calon, dilihat menepuk bahu Streram sebagai isyarat berhenti menjawab soalan wartawan dalam sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail di Kampung Sri Lalang.

Individu itu mendakwa PKR tidak mahu kenyataan Streram dimanipulasi pihak media kerana tahap penguasaan bahasa Melayu tidak begitu baik.

“Kita tidak mahu jawapan beliau yang mungkin tersilap akan dimanipulasi oleh media. Perkara ini kemudiannya akan menjejaskan imej parti bukan sahaja calon,” kata individu itu yang juga bekas pemimpin kanan PKR di Rantau.

Streram kemudiannya bertindak menolak menjawab soalan lain daripada wartawan.

Hari ini, Streram berkata, beliau seorang profesional yang hanya membuat kenyataan berdasarkan fakta.

“Mana-mana yang tidak pasti saya tidak akan berikan jawapan. Sebagai contoh, media bertanyakan mengenai manifesto, saya harus merujuk kepada pembantu di sebelah (saya), sama ada BGU mempunyai kemas kini atau makluman terkini berkenaan perkara itu.”

Katanya, beliau tidak akan mengulas pertanyaan wartawan secara lanjut, jika pembantu kempen tidak mempunyai maklumat jelas.

“Tiada sesiapa yang boleh mengatakan saya tidak memberikan respons kerana saya menjawab semua pertanyaan yang diajukan wartawan. Saya cuma tidak respons apabila tiada maklumat mengenainya.

“Saya tak nak beritahu ini buat itu, tetapi kesudahannya, ia tidak benar.”

Streram turut menafikan beliau bimbang kenyataannya akan dimanipulasi pihak media.

“Saya berpuas hati dengan media. Mereka adil dengan saya.”

Sebelum ini, calon bebas, Malar Rajaram menyepit mulutnya dengan sepit baju ketika berkempen di pasar malam pekan Rantau, sebagai tanda bantahan kepada kekangan yang dikenakan parti politik ke atas calon pilihan raya.

Malar mengadakan bantahan itu sambil mengedar kad kepada pengundi yang sedang membeli-belah. Bekas penyampai radio di Kanada itu berkata, gimik itu hanya untuk 2 hari pertama kempen PRK Rantau.