Tak benar PH dikuasai DAP, Hadi cuba takutkan Melayu, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata, tiada menteri yang boleh menentukan keputusan kolektif dibuat Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri.

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin menolak dakwaan Abdul Hadi Awang yang Pakatan Harapan dikuasai DAP dengan berkata, presiden PAS itu cuba menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Timbalan presiden PH itu berkata, kerajaan pimpinan gabungan itu ditubuhkan secara kolektif oleh PKR, PPBM, DAP dan Amanah.

“Tidak, itu tidak benar. Kabinet adalah tanggungjawab kolektif semua.

“Tiada menteri boleh menentukan keputusan yang dibuat oleh Kabinet yang dipengerusikan perdana menteri. Saya fikir ini telah berlaku sejak hari pertama PH memerintah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri berkata, dakwaan Hadi tidak baik untuk negara.

“Kami adalah sebahagian daripada menteri kerajaan dan DAP yang bertanggungjawab terhadap pendidikan, kewangan dan dalam banyak isu yang kita bincangkan di Kabinet, keputusan dibuat secara bersama.

“Saya fikir ini adalah sebahagian daripada gimik (PAS),” dakwanya.