Tak ramai hadir program, tapi Melayu sokong saya dalam diam, kata Streram

S Streram menjangkakan 30% undi Melayu akan beralih kepada PH pada 13 April ini.

RANTAU: Calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil Rantau, Dr S Streram yakin mendapat sokongan pengundi Melayu, walaupun tidak ramai yang menghadiri programnya.

Beliau mendakwa orang Melayu yang terdiri daripada lebih 50% pengundi di DUN itu, tidak menunjukkan sokongan mereka secara terbuka, tetapi mereka mengenalinya dan perkhidmatannya untuk masyarakat setempat, walaupun beliau bukan wakil rakyat.

“Ini kerana saya sentiasa menolong mereka. Sesiapa yang datang ke pejabat saya, saya akan ambil berat dan berikan sokongan sepenuhnya untuk selesaikan masalah mereka,” katanya selepas program ramah mesra calon PH di pekan Rantau hari ini.

Sebelum ini, Streram dilaporkan yakin boleh mendapat sekurang-kurangnya 60 hingga 70% undi pada 13 April ini, termasuk undi Bumiputera kerana beliau membantu semua pihak tanpa sebarang diskriminasi.

Hari ini, katanya, beliau menjangkakan 30% undi Melayu beralih kepada PH.

“Itu pun sudah cukup gembira untuk saya.”

Beliau berkata, faktor lain orang Melayu menyokongnya kerana mahukan keadilan bagi dirinya selepas beliau dinafikan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 lalu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Mereka simpati kepada kes itu. Saya sentiasa jadi calon ‘underdog’, tetapi mereka kenal saya kerana kes itu dan kerja-kerja saya.”

Katanya, beliau berusaha mengesan golongan memerlukan bantuan dan asnaf untuk dirujuk kepada Jabatan kebajikan Masyarakat.

Pada hari pencalonan 28 April tahun lalu, calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi Rantau selepas satu-satu pencabarnya, Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang memasuki pusat penamaan calon kerana tidak mempunyai pas SPR.

Pakar bius itu kemudiannya memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei 2018 bagi memohon PRK diadakan di kerusi terbabit kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan PRK Rantau perlu diadakan serta-merta kerana kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.