Tok Mat dakwa PH mahu matikan kebangkitan Umno, BN

Mohamad Hasan mendakwa SPR melambat-lambatkan tarikh PRK DUN Rantau bagi mengurangkan momentum kemenangan BN di Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini.

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional mendakwa Pakatan Harapan berhempas pulas memastikan gabungan itu berjaya merampas kerusi DUN Rantau pada pilihan raya kecil kali ini dan berusaha memusnahkan karier politiknya.

Mohamad Hasan berkata beliau kini mendiamkan diri daripada terus mengkritik kerajaan, khususnya kerajaan Negeri Sembilan termasuklah mengembalikan kekuatan Umno dan BN.

“Mereka memang nak menang di Rantau dan mereka nak memberhentikan momentum kebangkitan Umno dan BN.

“Di Rantau ini, dia (PH) kata, inilah orangnya yang patut kita ‘matikan’, Mohamad Hasan ini tidak boleh, mereka kata kalau dia hidup, keadaan macam main gasing, makin laju, BN akan menentang kita, jadi mesti matikan dia,” katanya merujuk kedudukannya ketika ini yang memangku tugas presiden Umno dalam misi memulihkan kembali sokongan rakyat terhadap bekas parti kerajaan itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama calon BN di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, malam tadi.

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man. Wakil pimpinan PAS juga hadir.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melambat-lambatkan tarikh PRK DUN Rantau bagi mengurangkan momentum kemenangan BN di 2 PRK sebelum ini iaitu Cameron Highlands dan Semenyih.

“Saya tidak pernah jumpa SPR bermesyuarat selama sebulan untuk tentukan tarikh PRK sebab nak matikan momentum kemenangan PRK Cameron Highlands dan Semenyih hilang.

“Dia (PH) memang nak menang di Rantau, bukan kerana kerusi Rantau dia nak, tapi nak supaya dapat hilangkan atau hentikan juga kebangkitan Umno dan BN,” katanya.

DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan 4 pengundi tidak hadir.

Sebanyak 11,283 pengundi atau 55.11% daripadanya adalah pengundi Melayu, 3,849 atau 18.80% Cina dan 5,336 atau 26.06% India.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Mohamad, Dr S Streram dari PH dan 2 calon bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin.