Projek hab kapal: Adakah Putrajaya cuba ambil alih kuasa Johor, soal TMJ

Model terminal hab pemindahan kapal ke kapal yang dipamerkan dalam majlis menandatangani perjanjian KA Petra Sdn Bhd dan Hutchison Port Holdings Ltd bagi projek itu di Putrajaya, hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan jika Putrajaya cuba mengambil alih kuasa kerajaan negeri kerana mendakwa sultan dan kerajaan Johor tidak dimaklumkan mengenai projek pembangunan hab pemindahan kapal ke kapal (STS) di perairan Pelabuhan Johor Bahru.

Beliau turut menyifatkan pihak yang mendakwa Johor tahu mengenai projek itu berbohong.

Katanya, apa saja yang berada dalam jarak 3 batu nautika di perairan Johor, khasnya hal berkaitan tanah dan air ialah hak mutlak negeri itu.

“Sesiapa yang mengatakan Johor maklum mengenai projek ini adalah satu pembohongan.

“Tuanku Sultan Johor dan saya sendiri tidak maklum berkenaan projek ini.

“Menteri besar juga tidak tahu berdasarkan rakaman suara yang disertakan. Kerajaan negeri termasuk Pejabat Tanah dan Galian juga tidak maklum berkenaan projek ini,” tulisnya di Facebook hari ini sambil disertakan rakaman audio Menteri Besar Johor, Osman Sapian menjawab soalan media berhubung isu itu.

Osman dalam rakaman audio itu berkata, beliau tiada di Johor selama 2 hari dan tidak menerima sebarang berita mengenai isu berkenaan.

Terdahulu, Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan kerajaan negeri tidak tahu dan tidak meluluskan pembangunan hab pemindahan STS di Johor.

Perdana menteri dilaporkan berkata, beliau sudah menemui Osman semalam dan berbincang mengenai projek itu.

Beliau turut menafikan Putrajaya melangkaui bidang kuasa kerajaan negeri kerana perbincangan diadakan dalam jangka lama, termasuk untuk menangani tuntutan Singapura yang projek itu menceroboh perairannya.

Mahathir berkata demikian hari ini selepas menyaksikan KA Petra Sdn Bhd dan Hutchison Port Holdings Ltd menandatangani perjanjian membangunkan hab STS terbesar di dunia itu dengan anggaran kos AS$150 juta hingga AS$180 juta.

Ahad lalu, TMJ melalui catatan di Facebook mendakwa Putrajaya langsung tidak berunding dengan kerajaan Johor berhubung projek itu.

Katanya, Putrajaya yang mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen, perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri.

Tunku Ismail turut mendakwa syarikat terbabit mendapat layanan istimewa dari Putrajaya kerana ia membabitkan kroni pemimpin tertentu.