Dr M nafi dakwaan Johor tolak projek kapal

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak sebarang dakwaan berhubung pembangunan hab pemindahan kapal ke kapal di Johor, termasuk dakwaan projek itu tidak mendapat kelulusan kerajaan itu.

“Saya mahu tahu jika kerajaan Johor akan menolak projek ini.

“Setakat ini mereka tidak menolaknya. Tidak rasmi lagi,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pelaburan antara KA Petra dan Hutchison Port Holdings Limited untuk membangunkan hab pemindahan kapal ke kapal yang terbesar di pelabuhan Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.

Ahad lalu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi kiriman Facebook yang mendakwa kerajaan negeri langsung tidak dirunding berhubung projek itu.

Kiriman itu mendakwa walaupun Putrajaya mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen, mereka perlu mendapatkan kebenaran dari negeri tersebut.

Ia juga mendakwa syarikat terbabit mendapat layanan istimewa dari Putrajaya dan melibatkan kroni pemimpin tertentu.

Mengulas berkenaan isu kroni, Mahathir berkata: “Semua orang di Malaysia ini kroni saya sebab saya bekerja untuk semua orang termasuk orang Johor.”

Beliau juga menafikan Putrajaya “bulldoze” bidang kuasa kerajaan negeri, mengatakan perbincangan telah diadakan dalam masa yang lama termasuk untuk menangani tuntutan negara jiran Singapura bahawa projek itu menceroboh perairannya.

Beliau berkata Putrajaya memberi penjelasan kepada republik itu bahawa projek tersebut dalam perairan Malaysia.

Mahathir menambah hab tersebut yang akan menelan kos antara AS$150 juta dan AS$180 juta, akan membawa keuntungan kepada Malaysia.

Mengenai tuntutan kerajaan negeri tidak menyedari projek itu, Mahathir berkata seluruh negeri itu tahu mengenainya.

Beliau juga menafikan Menteri Besar Johor Osman Sapian tidak dimaklumkan berhubung projek tersebut, mengatakan mereka telah bertemu malam tadi dan bercakap mengenainya.