Enjin bermasalah 10 pusingan terakhir tetap buat Leclerc positif teruskan perlumbaan

Masalah enjin yang berlaku secara tiba-tiba sudah pasti akan mengecewakan mana-mana pemandu.

Dan itulah yang berlaku kepada Charles Leclerc sewaktu perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix di Bahrain.

Tambahan pula ia adalah perlumbaan sulungnya namun Leclerc tetap bersikap positif.

Pelumba berusia 21 tahun berasal dari Monaco itu, muncul sebagai bintang sukan setelah menjadi pemandu termuda yang menempah petak hadapan dalam sejarah Ferrari, tetapi ketika saingan berbaki 10 pusingan, Leclerc berdepan masalah enjin yang hilang kuasa dan menyebabkan dia sekadar menamatkan aksi di kedudukan ketiga.

Gandingan Mercedes, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas sekali lagi melengkapkan perlumbaan, musim ini, di kedudukan pertama serta kedua.

“Secara jujurnya, bagaimana perasaan saya terhadap jentera, saya pada awalnya sudah menjangkakan kereta saya akan mengalami masalah selepas beberapa pusingan. Tetapi, itu bukan menjadi persoalannya sekarang dan kami masih mampu menamatkan aksi di tempat ketiga.

“Sepanjang hujung minggu, banyak perkara positif telah berlaku. Selepas Australia, kami ketinggalan agak jauh. Sekarang, saya fikir kami sudah mula mendapat kelajuan yang dimahukan.

“Kami datang ke sini dengan jentera bagus, yang mana ia sangat positif untuk pasukan dan membuktikan mereka telah melakukan tugas yang cukup mengagumkan. Kehilangan kedudukan pendahulu dengan cara sebegini memang malang dan amat mengecewakan,” kata Leclerc.

Bagaimanapun, anak muda itu berkata, keputusan tersebut bukanlah kejutan terburuk dalam karier perlumbaannya.

“Ia tidak terlalu teruk. Formula 2 di Monaco pada 2017, mungkin yang paling buruk pernah terjadi dalam karier saya,” jelasnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]