Ikrar BN jamu kambing di Rantau rasuah, kata Bersih

Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 berkata bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron melakukan kesalahan pilihan raya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kumpulan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 menyifatkan jamuan kambing yang diikrarkan seorang ahli politik Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Rantau sebagai rasuah.

Bersih berkata bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron melakukan kesalahan pilihan raya bawah Seksyen 10(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Semalam, Idris berkata jika BN menang 300 undi di Taman Angsamas, beliau akan menaja 2 ekor kambing untuk satu jamuan. Taman Angsamas terletak dalam DUN Rantau.

Dalam kenyataan hari ini, Bersih menjelaskan walaupun jamuan diadakan selepas pilihan raya, hasrat itu dinyatakan semasa tempoh berkempen dan oleh itu satu kesalahan.

Bersih menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kesalahan pilihan raya itu dengan menemubual mereka yang menghadiri ceramah itu.

“Tindakan perlu diambil dan mahkamah perlu diberi peluang untuk mendengar kes seperit itu supaya duluan boleh ditetapkan supaya ia menjadi panduan untuk kesalahan-kesalahan pilihan raya,” katanya.

Kumpulan itu berkata mungkin bukan Idris seorang yang akan didakwa atas kesalahan itu kerana Seksyen 10 menyatakan akta itu tidak terhad kepada calon sahaja.

“Harus diketahui bahawa penerima juga boleh didakwa,” katanya.