Jangan salahkan kerajaan lama, Zahid beritahu Guan Eng

Zahid Hamidi berkata ‘blame game’ tidak harus berlaku kerana kerajaan PH perlu lakukan lebih baik daripada kerajaan lalu.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi berkata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak seharusnya menyalahkan kerajaan lama dalam pembentangan belanjawan tambahan hari ini.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan seharusnya komitmen dan berdepan segala risiko apabila mengambil alih pentadbiran.

“Kaedah yang digunakan masih menyalahkan kerajaan lama kononnya perbelanjaan tambahan ini bukan suatu perbelanjaan dibuat untuk membiayai projek-projek baru, tetapi sebab komitmen kerajaan lama.

“Bagi saya ia risiko yang patut diambil oleh mana-mana kerajaan di dunia ini apabila mengambil alih kerajaan lama,” katanya di lobi Parlimen.

Sebelum itu, Lim dalam Dewan Rakyat, berkata kerajaan menerusi Kementerian Kewangan memohon perbelanjaan tambahan kira-kira RM19.6 bilion bagi perbelanjaan pengurusan dan pembangunan.

Daripada jumlah RM19.6 bilion itu, sebanyak RM15.49 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan manakala RM4.13 bilion bagi perbelanjaan mengurus.

Lim juga menerangkan beberapa alasan mengapa perbelanjaan tambahan itu diperlukan, ia termasuk kesan daripada tindakan kerajaan terdahulu berkaitan 1MDB.

Zahid berkata “blame game” tidak harus berlaku kerana kerajaan PH perlu lakukan lebih baik daripada kerajaan lalu.

“Jangan salahkan beban hampir setahun ini kepada kerajaan lama.

“Rakyat tunggu apa perubahan dan pembaharuan yang mahu dilakukan, bukan hanya letakkan semua kesalahan kepada kerajaan lalu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Daim Zainuddin lebih mengetahui prestasi setiap menteri dan kementerian.

Katanya, Daim sebagai orang lama yang pernah berada dalam Kabinet sebelum ini tentunya dapat membuat perbandingan.