Kabinet belum bincang isu hantar sisa Lynas ke Australia, kata PM

Isu pelupusan sisa radioaktif Lynas menjadi pertikaian terbuka antara beberapa anggota Kabinet semalam. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Kabinet belum membincangkan kaedah pelupusan sisa radioaktif Lynas Malaysia, selepas pertikaian terbuka antara menteri ketika membincangkan masa depan syarikat nadir bumi Australia itu.

“Kita akan jawab apabila berbincang dengan Kabinet,” kata Dr Mahathir Mohamad selepas upacara menandatangani perjanjian antara KA Petra dan Hutchison Port Holdings Limited untuk membangunkan hab pemindahan kapal ke kapal terbesar di dunia di Pelabuhan Johor Bahru, hari ini.

“Mungkin ada perbezaan pendapat, tetapi ia agak normal.”

Perdana menteri berkata, perkara yang ditentukan Kabinet akan menjadi keputusan rasmi.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof dilaporkan berkata, Putrajaya belum membuat keputusan muktamad berhubung penghantaran balik sisa radioaktif Lynas ke Australia.

Katanya, keputusan Kabinet adalah jelas untuk membolehkan Lynas terus beroperasi dan cara menangani sisa buangan radioaktif adalah perkara berbeza.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagaimanapun berkata, kerajaan sudah menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk memudahkan proses penghantaran sisa Lynas ke Australia.

Menterinya, Yeo Bee Yin pada 13 Disember lalu berkata, kerajaan mempertahankan keputusan mengarahkan Lynas mengeluarkan sisa buangan radioaktifnya dari Malaysia atau lesennya tidak akan diperbaharui.

Sementara itu, Mahathir berkata, Malaysia mempunyai “peluang baik” dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tahun ini, walaupun cubaannya ditolak 2 tahun lalu.

Katanya, rakyat Malaysia tidak bimbang mengenai kebebasan mereka, “kecuali jika mereka mahu berbogel di jalan, kita tidak benarkan dan jika mereka membuat sesuatu yang pelik, kita tidak benarkan”.

“Tetapi, kita tidak akan potong tangan anda dan kita tidak akan pancung kepala anda.”

Kali terakhir Malaysia menyertai majlis itu 6 tahun lalu. Keahliannya tamat pada 2013.

Pada 2017, Malaysia ialah satu-satunya daripada kalangan 16 negara yang gagal dalam cubaan menyertai majlis itu bagi penggal 2018 hingga 2020.