Najib akan kumpul bukti untuk LHDN kaji semula tuntutan cukai

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak akan kumpul bukti bagi meminta tuntutan cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dipertimbangkan.

Ini kerana beliau melihat cara pengiraan pendapatan LHDN itu boleh dipersoalkan.

“Kita akan minta (LHDN) kaji semula. Saya tidak sedia untuk bercakap lebih lanjut, cuma kita fikir tidak adil.

“Apapun ia boleh dilakukan mengikut proses,” katanya di lobi Parlimen.

Semalam, Najib berkata, beliau tidak pernah mengelak daripada tanggungjawab membayar cukai individu setiap tahun.

Beliau memberitahu, propaganda yang dicetuskan oleh Pakatan Harapan (PH) hari ini adalah “penalti cukai baru” yang tiba-tiba dikenakan ke atasnya.

Najib berkata mengikut undang-undang, sumbangan politik yang diterima daripada Arab Saudi tidak tertakluk kepada cukai.

Beliau merujuk kepada laporan yang menyebut beliau diminta membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.5 bilion.

Terdahulu, akhbar The Edge Financial Daily, yang memetik sumber berkata, LHDN menulis surat kepada Najib berhubung pendapatan boleh cukai yang tidak diisytiharkan sebanyak RM4 bilion dari 2011 ke 2017, termasuk wang RM2.6 bilion yang dikatakan diterima daripada Arab Saudi.

Dalam catatan Facebooknya, Najib bagaimanapun berkata, pendapatan yang diperolehi dari luar negara tidak tertakluk kepada cukai bawah undang-undang percukaian sedia ada.

Beliau akan kemukakan bukti wang RM2.6 bilion yang diterima adalah wang derma.

“Kita berpandukan fakta yang ada,” katanya

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab ketika ditanya sama ada jumlah yang dituntut adalah RM1.5 bilion.