Najib tunjuk bukti parkir di Shah Alam naik 50%

Notis kenaikan kadar caj parkir Majlis Bandaraya Shah Alam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak menunjukkan bukti bahawa caj parkir di Shah Alam naik 50% bermula semalam.

Menerusi kiriman Facebook, beliau berkata ada pihak menuduhnya sebagai penipu kerana mendakwa caj parkir Shah Alam naik mulai Isnin.

“Oleh itu, saya cari bukti. Tahun lepas, 1 buku dengan 15 kupon parkir dijual pada harga RM6, iaitu 40sen sehelai.

“Bermula semalam, satu buku dengan 11 kupon dinaikkan harga kepada RM7.

“Harga 1 kupon kini ialah 64 sen, iaitu 60 sen campur SST (cukai jualan dan perkhidmatan) 6%,” tulisnya dengan menyertakan notis kenaikan kadar caj tempat kereta Majlis Bandaraya Shah Alam.

Jumaat lalu, Najib mendakwa caj parkir di Shah Alam naik berikutan keputusan pihak berkuasa tempatan menyerahkan semua 70,000 lot parkirnya untuk diuruskan sebuah syarikat swasta minggu lalu.

Terdahulu, Bandaraya Shah Alam mengumumkan caj meletak kereta di kawasan PBT itu akan dinaikkan daripada 40 sen kepada 60 sen mulai 1 April ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad dilaporkan berkata, caj parkir bulanan pula naik daripada RM60 kepada RM90.

Beliau memberi alasan kenaikan 20 sen itu adalah wajar kerana kadar lama diguna pakai sejak 1998 dan kadar baru itu masih terendah berbanding PBT lain di Selangor dan seluruh negara.