PAS sedia bertanding di Sandakan

PAS Sabah beranggapan bertanding pada PRK Sandakan adalah masa terbaik untuk parti itu selepas PRU14.

SANDAKAN: PAS Sabah bersedia meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan datang.

Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling berkata perkara itu diputuskan pada satu mesyuarat PAS Sabah di Kota Kinabalu semalam.

“Bagaimanapun, keputusan akhir hanya akan diputuskan selepas berbincang dengan beberapa pihak lain, khususnya PAS Kawasan Sandakan dan ahli parti serta penyokong PAS di Sandakan.

“PAS Sabah beranggapan dalam konteks demokrasi, ini (bertanding pada PRK Sandakan) adalah masa terbaik untuk PAS bertanding selepas pilihan raya umum lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya Stephen Wong Tien Fatt dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.