Pemaju Melaka Gateway heret kerajaan ke mahkamah kerana batal lesen

KUALA LUMPUR: Pemaju pelabuhan laut dalam Melaka Gateway, KAJ Development Bhd mencabar keputusan kerajaan membatalkan lesen pengoperasian pelaburan yang diberikan pentadbiran lepas.

Laman theedgemarkets.com melaporkan KAJ Development menamakan Lembaga Pelabuhan Melaka, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 13 Mac.

Hakim Nordin Hassan hari ini meminta peguam syarikat, Mohd Haniff Khatri Abdulla memberikan masa kepada menteri dan Jabatan Peguam Negara untuk respon, kata laporan itu.

Nordin menetapkan 24 April untuk mendengar permohona syarikat untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman itu.

Menurut KAJ Development, ia menerima surat bertarikh 5 Oktober tahun lepas memaklumkan pelabuhan lesen pengoperasian pelabuhan untuk Melaka Gateway dan terminal jeti cruise dibatalkan.

Syarikat menulis rayuan kepada Loke pada 14 November, tetapi oleh kerana ia tidak menerima sebarang respon, ia mengambil keputusan untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Lesen itu diluluskan kerajaan pada Mac 2018, sebelum pilihan raya umum ke-14.

Menurut theedgemarkets.com, KAJ Development berkata projek itu bukan sahaja membawa masuk pelancong tetapi juga akan menyaksikan pembangunan industri maritim.

Syarikat itu juga meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan Loke menolak rayuan itu, apabila beliau tidak menjawab surat rayuan pada 15 Disember, tidak selaras dengan undang-undang atau kewajipan statutori, dan oleh itu keputusan membatalkan lesen itu terbatal dan tidak sah, kata laporan itu.

Theedgemarkets.com melaporkan KAJ Development juga meminta perintah certiorari untuk membatalkan pembatalan lesen pengoperasian itu.

Sebagai alternatif, ia mahu perintah mandamus untuk memaksa Loke menjawab rayuannya dalam tempoh 14 hari dari perintah mahkamah.

Di samping itu, ia mahu meminta ganti rugi am untuk dinilai mahkamah, dan ganti rugi khas sebanyak RM139 bilion.