Pemimpin Sikh P Pinang gesa pihak berkuasa siasat wanita dikebumi cara Islam

Surinder Kaur maut selepas diserang kekasihnya dengan topi keledar.

GEORGE TOWN: Seorang pemimpin masyarakat Sikh mempertikaikan dakwaan pihak berkuasa agama di Pulau Pinang mengenai seorang wanita Sikh yang meninggal dunia sehari selepas diserang kekasihnya berusia 55 tahun, sudah memeluk Islam.

Naamjit Singh Munjit Singh dari Sikh Naujawan Sabha Malaysia (Persatuan Belia Sikh Malaysia) cawangan Pulau Pinang berkata, tiada bukti kukuh K Surinder Kaur Bedi, 37, sudah memeluk Islam seperti didakwa ahli keluarganya yang mempunyai hubungan renggang dengan mangsa.

Laporan polis menunjukkan Surinder meninggal dunia semalam akibat kecederaan otak susulan dakwaan beliau diserang seorang lelaki yang mengaku ialah kekasihnya sejak 6 bulan lalu.

Lelaki itu mengaku menyerang mangsa dengan topi keledar ketika mereka bergaduh di tepi jalan pada 31 Mac lalu.

Doktor memberitahu polis, Surinder tidak sedarkan diri selepas kejadian itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Zulkifli Long memberitahu FMT, Surinder dikebumikan cara Islam semalam, selepas bedah siasat di Hospital Pulau Pinang.

“Kami menghormati kehendak keluarga.”

Bagaimanapun, katanya, nama Surinder tidak disenaraikan dalam senarai pendaftaran mualaf negeri itu.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor mengeluarkan sepucuk surat mengesahkan penukaran agama Surinder berdasarkan dakwaan beradiknya.

Dalam surat itu, katanya, abang Surinder memaklumkan adiknya mengucapkan 2 kalimah syahadah di depan beliau dan ibunya.

“Berdasarkan penjelasan itu dan tanpa prasangka, pejabat saya menerimanya dan mengeluarkan surat kepada negeri yang Surinder sudah memeluk Islam.”

Tetapi, Naamjit berkata, kemungkinan besar Surinder belum memeluk Islam sebelum beliau meninggal dunia.

“Kami mahu penukaran agama Surinder disiasat segera,” katanya sambil menambah satu laporan polis dibuat semalam berhubung isu itu.

Ahli keluarga Surinder, termasuk ibu bapa dan 4 beradiknya beragama Islam.

Pensyarah undang-undang, Shamsher Singh Thind mempersoalkan sejauh mana ucapan kalimah syahadah Surinder itu boleh diterima kerana doktor memaklumkan mangsa mengalami kecederaan otak dan hanya mempunyai peluang hidup “50-50”.

“Walaupun beliau sedar, adakah beliau boleh faham apa yang berlaku?” soal Shamsher.

Katanya, di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004, seseorang individu hanya boleh memeluk Islam jika beliau dalam keadaan “waras dan rasional”.

Beliau turut terkejut dengan tindakan mufti Pulau Pinang meluluskan penukaran agama Surinder.

“Kes ini menjadi contoh bahaya kerana seorang mufti boleh mengeluarkan dokumen rasmi untuk mengarahkan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bertindak atas anggapan seseorang itu ialah umat Islam.

“Adakah mufti mempunyai kuasa untuk menukar agama seseorang? Setakat kita tahu, undang-undang Islam negeri menetapkan hanya Pendaftar Muallaf boleh mengisytihar status seseorang yang menukar agama sebagai seorang Islam.”