Puteri, Pemuda Umno singgah rumah ke rumah untuk menangkan Tok Mat

Zahida Zarik Khan dan pasukannya di Kampung Sendayan.

SEREMBAN: Puteri dan Pemuda Umno hari ini meredah panas dan singgah dari rumah ke rumah untuk mememangkan timbalan presiden mereka, Mohamad Hasan.

Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan berkata kemenangan Mohamad amat penting bukan sahaja kerana beliau ketua parti, tetapi juga kerana dia “produk terbaik” Barisan Nasional.

“Tok Mat anak Rantau, banyak jasa dan sentiasa ada di sini,” katanya ketika ditemui selepas program ziarah di Kampung Sendayan hari ini.

“Jentera kita amat bersemangat berkempen dari rumah ke rumah, ‘walkabout’ dan kempen di media sosial. Kebanyakan penduduk yang kita jumpa kata tiada sebab mereka tidak mengundi Tok Mat.”

Naib Ketua Pemuda, Shahril Hamdan berkata pengaruh Mohamad memudahkan jentera mempromosikan beliau dalam kempen.

Beliau berkata pemilihan calon terbaik membawa kelebihan dan kekuatan kepada jentera.

Shahril Hamdan dan pasukannya di Taman Ekar.

“Adalah satu bonus kepada BN kerana orang yang terbaik adalah ketua bahagian dan juga timbalan residen parti,” katanya dalam program bertemu penduduk di Taman Ekar.

Bagaimanapun, katanya, BN tidak boleh terlalu selesa dengan sokongan setakat ini.

“PRK ini memberi satu erti yang lebih daripada biasa. Jangan pandang mudah walaupun kita yakin dengan gelombang BN sekarang ini. Kita tidak boleh terlalu yakin,” katanya.