Selepas isu ‘pondan’, Guan Eng dakwa dirinya sasaran pembangkang

KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng mendakwa dirinya menjadi sasaran pembangkang, selepas wakil rakyat BN dan PAS meninggalkan Dewan Rakyat apabila seorang ahli Parlimen diarah keluar kerana enggan menarik balik perkataan “pondan”.

Menteri kewangan berkata pembangkang sering memainkan sentimen dan emosi bagi menimbulkan kebencian terhadap dirinya dan kerajaan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dari PAS mengganggu Lim yang sedang menggulung ucapan Akta Perbekalan Tambahan (2018).

Beliau mendakwa dia mempunyai bukti kontrak kerajaan untuk Bumiputera diberi kepada semua kaum.

Lim bagaimanapun menepisnya, mengatakan dia hanya mempunyai 45 minit untuk menggulung ucapannya, dan meminta Ahmad bertemunya nanti.

Tindakan Lim memintanya duduk menyebabkan Ahmad berkata “saya anak jantan, bukan pondan” dan keenggananya menarik balik perkataan itu menyebabkan timbalan speakar mengarahnya keluar.

Ditemui pemberita di luar dewan, Lim menjelaskan kerajaan masih menguruskan kontrak-kontrak Bumiputera untuk kontraktor Bumiputera.

“Perbezaanya mesti dibuat secara tender terbuka…kita boleh pilih kontraktor dan harga yang baik,” katanya di lobi Parlimen.

Lim berkata dia sudah meminta Marzuk memberikan buktinya kepadanya selepas selesai menggulung ucapan.

“Tapi nampaknya dia takut nak tunjuk bukti. Dia tidak mahu endah dan nak ambil kesempatan untuk buat ucapan,” katanya.