Tambah baik Boeing 737 Max perlu beberapa minggu lagi, kata FAA

AS merehatkan semua pesawat Boeing 737 MAX 8 dan 737 MAX 9, selepas pesawat Ethiopian Airlines penerbangan ET302 terhempas berhampiran Addis Ababa, pada 10 Mac lalu yang meragut 157 nyawa. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Pegawai Amerika Syarikat menjangka akan menerima kemas kini perisian pesawat Boeing 737 Max dalam beberapa minggu dan menjalankan kajian keselamatan ketat ke atasnya, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada Isnin.

“FAA menjangka menerima pakej terakhir perisian Boeing yang ditambah baik dalam tempoh beberapa minggu lagi untuk kelulusan,” menurut kenyataan itu.

“Masa diperlukan untuk kerja-kerja tambahan oleh Boeing sebagai hasil kajian berterusan terhadap Sistem Kawalan Penerbangan pesawat jenis 737 Max bagi memastikan Boeing telah mengenal pasti dan menangani semua isu penting.”

Kerajaan AS mengarahkan semua pesawat Boeing 737 Max 8 dan 737 Max 9 direhatkan, susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines penerbangan ET302 terhempas berhampiran Addis Ababa, pada 10 Mac lalu yang mengorbankan 157 penumpang dan kru.

Nahas itu berlaku selepas sebuah lagi pesawat jenis sama terhempas di Indonesia Oktober tahun lalu yang meragut 189 nyawa.