Equanimity boleh jadi bahan bukti kes 1MDB walaupun dijual

KUALA LUMPUR: Kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan skandal 1MDB masih boleh dijadikan bahan bukti walaupun dijual kepada syarikat tujuan khas (SPV), Genting Malaysia Bhd.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata mahkamah boleh sepina pemilik kapal Equanimity untuk menjadikannya bahan bukti dalam kes berkaitan 1MDB.

“Katakanlah Equanimity dijual, mereka (mahkamah) boleh minta pembeli bawa dokumen berkaitan. Ada beberapa mekanisme untuk pendakwa raya lakukannya.

“Tidak bermaksud kalau dah jual tidak boleh. Tak ada masalah,” katanya di lobi Parlimen.

Putrajaya bersetuju menjual Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd pada harga AS$126 juta.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kenyataan hari ini berkata, Genting akan membayar AS$126 juta kepada Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

Dalam pada itu, Hanipa tidak pasti sama ada kapal Equanimity akan dijadikan bahan bukti dalam kes berkaitan 1MDB.

“Saya tak pasti sebab terlalu banyak kes dakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho.

“Jadi saya tidak tahu kes mana yang Equanimity akan dijadikan bahan bukti sebab kes Najib juga baru bermula,” katanya.

Equanimity yang dilapor dibina pada harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) itu disita di Bali, Indonesia, Februari 2018 atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah Jabatan Kehakiman AS ke atas skandal 1MDB.

Ia kemudiannya diserahkan kepada kerajaan Malaysia kerana dikaitkan dengan skandal rasuah 1MDB, pada Ogos 2018.

Kapal sepanjang 91.5m itu berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi dan kerajaan dilapor menghabiskan RM3.5 juta untuk menyelenggara Equanimity sejak ia tiba di Pelabuhan Klang, pada 7 Ogos 2018.