Kajian: Jualan rokok haram di Malaysia tertinggi di dunia

Hampir 60% rokok yang dijual di Malaysia adalah rokok haram.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 58.9% rokok yang dijual di Malaysia adalah haram, meletak Malaysia sebagai negara dengan jualan rokok haram paling tinggi di dunia, menurut kajian Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia.

Pada sidang media berhubung kajian oleh pusat kajian Nielsen hari ini, Pengarah Urusan JTI Malaysia Commac O’Rourke berkata jualan rokok haram mencecah 12 bilion batang pada 2018, meningkatkan 3.3% berbanding 2017.

Kajian Rokok Haram 2018 menunjukkan sejumlah 153,000 pek rokok dibuang ke jalanan dan tong sampah seluruh negara sepanjang tahun.

Ini dianalisis menerusi setem cukai tempatan dan pembungkusan tulen.

Kajian mendapati jualan rokok haram sangat berleluasa di Sabah, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Terengganu, dengan 70% dan 80% pek rokok dari kawasan ini adalah rokok haram.

JTI berkata hasilnya juga menyerlahkan peningkatan yang membimbangkan penyeludupan rokok dengan setem cukai palsu.

“Malaysia adalah antara beberapa negara di mana penjualan rokok haram terus meningkat dengan keadaan sekarang melampaui tahap krisis, kata O’Rourke.

Beliau menyifatkan peningkatan rokok haram terhadap apa yang beliau sebut sebagai kenaikan berlebihan dalam duti eksais tembakau dan harga rokok sepanjang tahun, serta penguatkuasaan tidak mencukupi.

JTI berkata di bawah undang-undang, syarikat tembakau mesti menaikkan harga rokok dengan kuantum yang sama seperti kenaikan duti eksais, yang bermaksud syarikat tembakau tidak dapat menyerap kenaikan duti eksais.

O’Rourke berkata keadaan itu menyebabkan kerajaan kehilangan sehingga RM5 bilion dari segi pulangan cukai yang tidak dapat dikutip.

Beliau juga berkata kerajaan yang diketuai Pakatan Harapan harus menyampaikan manifesto pilihan rayanya untuk menghentikan penyeludupan rokok haram, dan mencadangkan 3 langkah untuk menangani keadaan itu.

Beliau menggesa pengwujudan moratorium eksais untuk 3 tahun akan datang bagi mengelakkan kejutan harga yang akan membuat perokok berpindah kepada rokok haram.

Pengharaman pemindahan kapal untuk rokok di pintu masuk di Malaysia juga harus dilaksanakan, kerana ia dimanipulasi untuk membawa masuk rokok haram ke negara ini, katanya.

“Di samping itu, hanya ada satu pintu masuk bagi setiap pengimportan rokok ke Malaysia.

“Matlamatnya adalah untuk mengelakkan manipulasi proses dan prosedur dan membolehkan penumpuan dan pemantauan rokok ke negara ini lebih baik.”

O’Rourke juga menyeru penubuhan sebuah badan bebas untuk memimpin pasukan petugas khas untuk menangani penjualan rokok haram.

Badan bebas ini, katanya, harus terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan wakil industri.

Beliau menambah sebarang langkah oleh Putrajaya untuk memperkenalkan langkah pengawalseliaan yang lebih lanjut mengenai industri tembakau yang sah hanya akan memburukkan lagi masalah itu.

“Penguatkuasaan undang-undang sedia ada seharusnya menjadi fokus utama mereka, memandangkan 60% daripada jumlah yang dihisap rakyat Malaysia hari ini tidak melalui peraturan dalam penjualan.

“Ini adalah kegagalan dasar yang jelas yang kerajaan tidak boleh abaikan.”