Kami hanya penuhi hasrat keluarga kebumi wanita cara Islam, kata mufti

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak berkuasa agama akan membenarkan jenazah K Surinder Kaur Bedi dikebumi di tempat lain, jika mahkamah memutuskan beliau bukan Islam. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang berkata, pihak berkuasa agama hanya memenuhi hasrat keluarga dan tiada niat jahat dalam keputusan mereka membenarkan pengebumian cara Islam bagi seorang wanita Sikh, selepas beberapa pemimpin Sikh mempertikaikan penukaran agamanya.

Tetapi, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, beliau terbuka menerima keputusan mahkamah berhubung perkara itu.

Katanya, K Surinder Kaur Bedi, 37, yang meninggal dunia selepas diserang teman lelakinya, diberikan pengebumian Islam atas permintaan keluarga terdekat mangsa.

Beliau berkata, walaupun komuniti Sikh berhak menyuarakan bantahan mereka, perkara itu boleh ditentukan mahkamah.

“Kami sekadar memenuhi hasrat keluarga kerana mereka kata beliau sudah memeluk Islam.

“Jika komuniti Sikh tidak puas hati, mereka boleh bawa isu ini ke mahkamah. Biar mahkamah tentukan jika pendirian kami betul atau salah. Itu penyelesaian terbaik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan membenarkan jenazah Surinder dikebumikan di tempat lain, jika mahkamah memutuskan beliau bukan Islam.

“Saya tiada bantahan walaupun saya bersimpati dengan keluarganya kerana ia bertentangan hasrat mereka.

“Pertikaian ini antara keluarga dan komunitinya. Kami sekadar membantu keluarganya.”

Surinder meninggal dunia akibat kecederaan otak selepas diserang seorang lelaki berusia 55 tahun yang berulang kali menyerangnya dengan topi keledar ketika mereka bergaduh di tepi jalan pada 31 Mac lalu.

Beliau dikebumikan Isnin lalu, selepas abangnya yang juga seorang umat Islam memaklumkan pihak berkuasa adiknya sudah memeluk Islam.

Keputusan itu tidak diterima baik sebuah kumpulan Sikh yang kemudiannya membuat laporan polis kelmarin.

Abang mangsa berkata, Surinder sudah mengucapkan 2 kalimah syahadah di depan beliau dan ibunya.

Ahli keluarga Surinder, termasuk ibu bapa dan 4 beradiknya beragama Islam.