Kaukus Lynas sanggah kenyataan mengenai keputusan kerajaan

Kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung penghantaran keluar sisa dari Lynas.

PETALING JAYA: Sebuah kaukus Parlimen pula menyanggah kenyataan berkenaan keputusan kerajaan meneruskan kilang memproses nadir bumi, Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang menyusuli bidasan daripada Ahli Parlimen DAP, Wong Tack dan Ahli Parlimen PKR, Fuziah Salleh.

Jawatankuasa pantau Lynas, yang dipengerusikan oleh Wong berkata, kenyataan itu “ternyata bercanggah” dengan pendirian dan keputusan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (Mestecc). Ia juga mendakwa kenyataan berkenaan keputusan kerajaan itu bercanggah dengan “sebahagian besar” ahli Parlimen.

“Kami berdiri teguh menyokong pendirian Mestecc sebelum ini,” katanya dalam kenyataan semalam, merujuk kepada pendirian dalam isu pengurusan 2 residu iaitu buangan pepejal, Water Leach Purification (WLP) dan buangan terjadual, Neutralization Underflow Residue (NUF).

Selain Wong, turut menamakan sokongan kepada kementerian Menteri Yeo Bee Yin itu adalah 2 ahli Parlimen DAP, 3 ahli Parlimen PKR dan 1 ahli Parlimen Amanah, serta 1 ahli Parlimen Umno dan PAS.

“Kami bertegas operasi kilang Lynas tidak boleh diteruskan selagi syarat-syarat pengurusan sisanya tidak dipatuhi seperti yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada 30 Mac lepas, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof mengumumkan kerajaan tidak akan menutup kilang kontroversi itu, untuk menarik lagi pelabur berkecimpung dalam pembuatan produk seperti di Lynas.

Mestecc dalam kenyataan 4 Disember lepas mengenakan 2 prasyarat pembaharuan lesen kepada kilang Lynas untuk terus beroperasi, iaitu ia perlu memastikan sisa WLP dihantar keluar dari Malaysia, dan mengemukakan suatu pelan tindakan bagi pelupusan buangan yang terkumpul bagi sisa NUF.

Lynas menyifatkan keputusan Mestecc tidak selari dengan laporan berasaskan kajian saintifik dan pakar oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Mengenai Operasi LAMP, dan prasyarat berkenaan tidak konsisten dengan cadangan penilaian jawatankuasa berkenaan.

Katanya, jawatankuasa itu menyarankan Lynas segera mengenal pasti lokasi dan fasiliti pelupusan kekal untuk sisa WLP, dan tapak untuk pembinaan fasiliti itu, sebelum lesen operasi diperbaharui. Mengenai sisa NUF, Lynas sudah menyerahkan pelan tindakan dan mahu kebenaran melaksanakannya dipercepatkan.

Kelmarin, Redzuan berkata keputusan jemaah menteri adalah “jelas” untuk membolehkan Lynas terus beroperasi dan cara menangani sisanya adalah perkara berbeza.

“Jika jawatankuasa itu kata ia tidak selamat, maka kita perlu menutupnya. Tetapi, setakat yang saya tahu, tiada petunjuk oleh jawatankuasa yang loji itu tidak selamat, selain cadangan sisa itu perlu dikembalikan.”

Redzuan juga berkata Putrajaya belum membuat keputusan muktamad berhubung penghantaran keluar sisa.

“Ada alternatif lain untuk menguruskan sisa-sisa ini.”

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata jemaah menteri masih belum membincangkan soal pelupusan sisa Lynas tetapi apa yang ditentukan oleh jemaah itu nanti akan menjadi keputusan rasmi.