Kejayaan anak Chong Wei menceriakan keluarga dan netizen

Bapa borek anak rintik… Itulah yang dapat digambarkan dengan keceriaan keluarga Lee Chong Wei selepas kejayaan berganda anaknya.

Chong Wei yang masih berehat daripada sebarang pertandingan atas faktor kesihatan memanfaatkan masa terluang untuk bersama keluarga.

Hantaran terbaru yang dimuat naik jaguh badminton negara itu dalam media sosial hari ini mencuri perhatian peminat apabila dia berkongsi keterujaan melihat anak sulungnya, Kingston, 6, cemerlang dalam sukan.

“Sangat bangga dengan anak saya, Kingston.

“Dia cemerlang pada hari sukan di tadikanya hari ini dan memenangi dua pingat emas untuk acara larian serta berbasikal.

“Ia mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak…dejavu,” tulis Chong Wei dalam Facebook.

Coretan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat, yang rata-rata berkata, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Malah hantaran itu juga setakat ini telah mendapat lebih 11 ribu ‘like’ dan 100 ‘share’.

Chong Wei, 37, berkahwin dengan ratu badminton negara, Wong Mew Choo pada November 2012 selepas 11 tahun bercinta.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak lelaki, Kingston dan Terrance, 4.

Chong Wei sudah lapan bulan berehat daripada badminton selepas mendapatkan rawatan kanser hidung di Taiwan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]