Projek terowong dasar laut: Ahli perniagaan didakwa tipu pengarah syarikat RM19 juta

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 3 pertuduhan menipu pengarah sebuah syarikat dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

G Gnanaraja didakwa menipu Pengarah Eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebanyak RM19 juta antara Julai dan Ogos 2017 di pelbagai lokasi di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Gnanaraja dikatakan memperdaya Zarul untuk percaya dia boleh membantunya menutup siasatan pengubahan wang haram terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Gnanaraja yang didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dipenjara maksimum 10 tahun, denda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Salleh menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 6 Mei untuk sebutan semula kes.

Gnanaraja diwakili peguam, Geethan Ram Vincent manakala timbalan pendakwa raya, Umar Saifuddin Jaafar mengetuai pasukan pendakwaan.

Gnanaraja ditahan SPRM tahun lalu atas dakwaan dia menerima RM19 juta daripada kontraktor utama projek, Consortium Zenith Construction, bagi membantu menghentikan siasatan ke atas syarikat itu.

Jabatan Peguam Negara memberi SPRM lampu hijau untuk mendakwa lelaki berusia 38 tahun itu, semalam.