Tanya NGO kenapa beri makan kepada pengundi, kata Anwar

Anwar Ibrahim (duduk 4 dari kanan), S Streram (duduk 3 dari kanan) dan beberapa pemimpin PKR menikmati hidangan nasi lemak dan capati di Taman Sri Ramai.

SEREMBAN: Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai jamuan yang dihidangkan ketika menghadiri satu siri ceramah sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.

“Ini program bawah kelolaan NGO, mereka jemput dan kena tanya mereka mengapa buat jamuan.

“Calon pun hadir? Itu kena tanya NGO, saya datang atas jemputan,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat India Kuala Sawah di Taman Sri Ramai, Rantau.

Pada kempen hari ke-4 Pakatan Harapan (PH), Anwar, calon PH S Streram, pemimpin PKR dan pengundi kawasan tersebut dijamu nasi lemak dan roti canai.

Menurut salah seorang wakil penganjur program itu, jamuan tersebut dianjurkan penduduk sekitar Taman Sri Ramai dengan dibantu pemimpin PKR peringkat cabang.

Katanya, ia dilakukan sebagai adat menghormati tetamu termasuk Anwar yang hadir.

“Penduduk datang jauh, takkan tak bagi makan. Datang saja-saja.

Program jamuan itu dianjurkan penduduk sekitar Taman Sri Ramai dengan dibantu pemimpin PKR peringkat cabang.

“Program ini dikelolakan oleh penduduk kampung, lagipun nasi lemak berapa saja, kita buat makan-makan tidak minta duit dengan calon,” katanya.

Majlis tersebut dihadiri lebih 200 penduduk.

Selain Streram, pemimpin lain yang hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Selayang William Young dan beberapa pemimpin PKR.

FMT turut bertanyakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kebetulan ada di majlis berkenaan.

Katanya, pihak penganjur sememangnya melakukan kesalahan kerana mengadakan jamuan kepada pengundi yang turut dihadiri calon PRK.

“Ikut peraturan SPR, memang salah tambahan lagi ada calon PH,” kata pegawai SPR tersebut.

Untuk rekod, kesalahan itu termaktub dalam Bahagian 3, Kesalahan Rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.