Umno, PAS bersatu di solidariti Palestin

Asyraf Wajdi Dusuki (4 dari kiri), Tuan Ibrahim Tuan Man (5 dari kiri) bersama pemimpin kedua-dua parti berkumpul bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin, malam tadi.

GOMBAK: Umno berkata parti Melayu itu dan PAS menunjukkan kerjasama yang kukuh apabila bersama-sama menyatakan solidariti terhadap Palestin.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata sudah berpuluh tahun mereka memperjuangkan isu itu, malah ia mempertemukan Umno dan PAS satu ketika dahulu.

“Dalam suasana sekarang ini, ia melonjakkan lagi kerjasama 2 parti besar ini.

“Untuk memartabatkan dan mendaulatkan Islam harus bermula dengan solidariti dan kerjasama yang utuh bagi memperkasakan ukhuwah Islamiah serta sama-sama perjuangkan Islam bukan sahaja dalam konteks Palestin tetapi juga dalam negara,” katanya.

Beliau yang mewakili Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkumpul dengan kira-kira 200 penyokong Umno dan PAS di sebuah kolej Islam malam tadi bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin selepas protes besar-besaran di Gaza mengakibatkan 210 penduduk terbunuh minggu lalu.

Turut hadir ialah Pemuda Umno Wilayah Persekutuan dan Gombak. Manakala PAS diwakili Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man disertai ahli Dewan Ulamak PAS, Wanita PAS, ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS dan Pemuda PAS.

Asyraf berkata Umno dan PAS harus mengetepikan sebarang perbezaan apabila melibatkan isu Islam.

“Kita harus melihat bagaimana untuk menguruskan perbezaan sesama kita, letak tepi perbezaan dan harus utamakan kepentingan Islam secara keseluruhan.

“Kalau kita mampu menguruskan perbezaan untuk menyatukan umat atas dasar Islam, kemenangan pasti akan kita capai bukan sahaja di negara ini tetapi juga di bumi Palestin,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kerana sering tegas dengan pendiriannya dalam isu Palestin.

“Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan dan secara peribadinya berterima kasih kepada Tun Mahathir sebab baru-baru ini menyekat kedatangan atlet Israel daripada masuk ke Malaysia. Ini satu langkah yang harus kita dokong.

“Apabila PAS bertemu dengan beliau, kami menyatakan itu satu tindakan yang berani sehingga Malaysia hilang kelayakan untuk jadi penganjur temasya sukan paralimpik renang di Sarawak dan saya fikir ketegasan ini diperlukan,” katanya.