DBKL tiada niat matikan persatuan peniaga, kata Khalid Samad

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, beliau tetap mengambil kira pandangan persatuan biarpun ada cubaan untuk memboikot sesi cabutan undi petak bazar Ramadan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak berniat untuk mematikan persatuan peniaga seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Katanya, kerajaan hanya mahu memastikan peniaga tidak terus terbeban dan pada masa yang sama memelihara hubungan dengan persatuan.

“Pihak persatuan peniaga tidak berpuas hati kerana selama ini petak bazar Ramadan diserahkan kepada mereka oleh DBKL dengan kadar yang murah dan mereka menyewakan sewa kembali kepada peniaga dengan kadar yang agak tinggi.

“Kita mahu menangani masalah yang sekian lama wujud apabila persatuan sedikit sebanyak mengongkong peniaga kerana mereka diberi hak memperoleh petak dengan jumlah yang banyak seperti 50 atau 100 petak dan disewakan kepada ahli mereka.

“Ini bukan tindakan yang menyenangkan mahupun membantu peniaga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo Kota Buku Dunia KL, pagi tadi.

Kata Khalid, beliau tetap mengambil kira pandangan yang disuarakan persatuan biarpun ada cubaan untuk memboikot sesi cabutan undi bazar Ramadan.

“Kita hanya dapat 225 petak di Jalan Raja sebelum ini, tapi selepas kita kaji dan bincang kita dapat tambahan 119 petak dan kita akan lakukan cabutan undi pada 16 April depan.

“Kita nak tegaskan kita bukan nak matikan persatuan walaupun tak beri petak mengikut kuota seperti dahulu dan tak dapat disewa secara terus. Tapi di kawasan lain, DBKL hanya uruskan 5 lokasi, manakala 50 lokasi lagi persatuan dibenarkan untuk mengurus tapak dan mereka ada hak jalankan kerja-kerja penyusunan, pembersihan dan pengurusan secara umum,” katanya.

Khalid berkata, persatuan juga dibenarkan mengenakan caj tambahan kepada peniaga bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan.

“Mereka dibenarkan kenakan caj tambahan kepada peniaga atas perkhidmatan yang mereka beri, semua lokasi sebenarnya disewa daripada DBKL, tapi persatuan dibenarkan urus tapak tertentu.

“Jadi tak perlulah anggap kita nak matikan persatuan sebab mereka tetap relevan, tetapi kita tak mahu mereka jadi orang tengah. Biarlah petak disewa daripada DBKL dan kadar sewa juga ditetapkan oleh DBKL. Kalau ada perkhidmatan tambahan daripada persatuan mereka boleh kenakan caj,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL, Ibrahim Yusoff berkata, pihaknya akan memastikan bangunan Sultan Abdul Samad tidak tercemar apabila bazar Ramadan diadakan di kawasan itu.

“Kita akan pastikan bangunan Sultan Abdul Samad tidak tercemar. Jadi sepanjang program diadakan, bangunan tersebut akan diletakkan di bawah jagaan DBKL,” katanya.

Dua hari lepas proses undian tapak baru bazar Ramadan di Jalan Raja oleh DBKL di Stadium Titiwangsa bertukar kecoh, berikutan bantahan peniaga terhadap pemindahan bazar itu.

Lebih 300 peniaga tapak bazar Ramadan yang sebelum ini berniaga di Lorong Tunku Abdul Rahman di sini, menyuarakan bantahan mereka ketika proses undian tapak baru di Jalan Raja dijalankan oleh DBKL.