LHDN akan kejar menteri, bekas menteri tak bayar cukai, kata PM

Isnin lalu, LHDN dilaporkan meminta Najib Razak membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.5 bilion. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kepada menteri dan bekas menteri supaya membayar cukai pendapatan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri akan mengambil tindakan terhadap mereka.

“Bukan sahaja bekas menteri, tetapi menteri sedia ada pun…kalau tak bayar, LHDN akan kejar mereka,” katanya di lobi Parlimen hari ini selepas LHDN dilaporkan meminta bekas perdana menteri, Najib Razak membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.5 bilion.

Isnin lalu, akhbar The Edge Financial Daily memetik sumber sebagai berkata, LHDN menulis surat kepada Najib berhubung pendapatan boleh cukai yang tidak diisytiharkan sebanyak RM4 bilion dari 2011 ke 2017, termasuk derma RM2.6 bilion yang didakwa daripada Arab Saudi.

Mahathir turut mendakwa kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Najib mengenakan “cukai tinggi” kepada sesetengah orang selepas tarikh taksirannya diundur sehingga 10 tahun.

“Itu sudah tentu tidak sah, anda tidak boleh mengundurkan tarikh apabila mereka sudah bayar cukai mereka berdasarkan undang-undang.”

Tahun lalu, Mahathir mendakwa terdapat individu dan ahli perniagaan yang dipaksa membayar cukai lebih daripada sepatutnya oleh kerajaan terdahulu.

Beliau mendakwa individu itu diugut akan disenaraihitamkan dan pasport mereka akan dirampas jika mereka gagal membayar cukai.

Ditanya jika Putrajaya sedang mengkaji untuk melupuskan lebih banyak aset, Mahathir berkata, ia akan dilakukan jika ada keperluan.

“Tetapi, sudah tentu kita akan jual tanah kepada rakyat Malaysia, bukannya orang asing.”

Mengenai bantahan pembangkang terhadap penjualan aset kerajaan, brickbats Mahathir berkata, mereka boleh membantah apa saja, tetapi “mereka tiada kuasa”.

“Kerja pembangkang ialah membantah. Kerja kerajaan ialah buat apa yang kerajaan fikirkan betul.”

Penjualan aset kerajaan dibangkitkan di Parlimen selepas Putrajaya memutuskan menjual menara 28 tingkat di Jalan Gloucester, Wanchai, Hong Kong yang menempatkan pejabat Konsulat Malaysia pada harga RM1.68 bilion.