Pembangkang serah usul desak perakuan Statut Rom ditarik balik

KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang menyerahkan usul mendesak kerajaan menarik balik perakuan Statut Rom semalam, perjanjian antarabangsa yang menurut pembangkang patut dibahas di Parlimen dan dibincangkan Majlis Raja-raja.

Ismail Sabri Yaakob berkata Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof akan memutuskan sama ada usul itu dibahas atau tidak pada 8 April ini.

“Kita harap pihak Speaker beri ruang pada ahli Parlimen bahas usul,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Ismail berkata Statut Rom sepatutnya dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan dipersetujui bersama.

“Tetapi perkara ini tidak dilakukan dan terus ditandatangani tanpa mesyuarat Majlis Raja-Raja dan tanpa melalui Parlimen dan sebagainya,” katanya.

Statut Rom merupakan suatu perjanjian antarabangsa yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), pelengkap kepada undang-undang sedia ada untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara menjadi negara pihak kepada Statut Rom, termasuk negara-negara beraja seperti Jepun, Jordan, Belanda dan United Kingdom.

Putrajaya berkata kekhuatiran sesetengah pihak bahawa Agong akan terdedah kepada pendakwaan jenayah di ICC merupakan tanggapan salah dan dibuat tanpa kefahaman asas dalam perundangan dan Perlembagaan Persekutuan.