Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit notes against US dollar background.

KUALA LUMPUR: Ringgit tidak berubah berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini berikutan kebanyakan peniaga memutuskan untuk terus tidak memasuki pasaran disebabkan perkembangan luaran yang bercampur-campur.

Pada 9.06 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.0770/0820 berbanding dolar AS daripada 4.0770/0810 semasa ditutup semalam.

Peniaga berkata, berita mengenai mata wang Asia yang lebih kukuh, berikutan pengurangan hasil bon AS diimbangi oleh harga minyak global yang lemah disebabkan inventori AS yang tinggi.

“Buat masa ini, peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menyaksikan kemajuan pasaran sepanjang hari sebelum mengambil sebarang kedudukan,” katanya.

Penanda aras antarabangsa niaga hadapan minyak mentah Brent susut 2 cent kepada AS$69.29 setong, manakala minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) merosot 14 cent kepada AS$62.34 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun, apabila tidak berubah pada 3.6572/6623 daripada 3.6572/6617 semasa ditutup semalam.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0135/0177 daripada 3.0146/0180, naik berbanding pound British kepada 5.3706/3789 daripada 5.3735/3804 dan tinggi berbanding euro kepada 4.5842/5902 daripada 4.5850/5911.